Thursday, June 4, 2009

Pulau Meranti Epic Part 1

Seperti dipersetujui kelmarin sebelumnya, tiga pembasikal pelbagai kaum; Bugis, Jawa dan Mamak bertemu untuk menjelajah persekitaran misteri Pulau Meranti.



Dulu, persekitaran Pulau Meranti dipercayai sebuah kampung yg hijau damai, namun telah bertukar menjadi kawasan yang lebih panas hasil 'tangan-tangan' manusia, demi memenuhi kesenangan 'orang luar' dipembangunan perumahan berhampiran.

Awalnya, talian trail asal telah dipelopori oleh Si Jawa di sekitar pertengahan 2005. Sehingga 2009 terbaru ini, sistem talian trail ini telah dipanjangkan bersama seorang lagi kaum dari atas kenderaan Modenas KRISS110 SE dan Skuter Suzuki tayar pancit. Hasilnya termaktub di dalam pengembaraan pertama berbasikal sepenuhnya ini.

Sebahagian singeltrack telah pupus dimamah tumbuhan semulajadi. Kali ini juga, Trail Pokok Ceri tidak dilalui kerana kegagalan menemui sambungan yang ideal. Permulaan kayuhan seawal 8.15 pagi adalah dari foodcourt Putra Perdana yang sudah dihiasi oleh Pusat Futsal terbuka setelah dirasmikan oleh aksi makcik-makcik dan bolanya pada bulan sebelumnya.

Singletrack Siantan/Kolam Pancing menjadi pembuka selera, namun hajat untuk keluar di doubletrack berhampiran gagal kerana kawasan terbabit sudah dipagar oleh peneroka haram. Lantas kami menuju ke alternatif laluan menuju terus ke Kg Sebok.



Damai di Kg Sebok masih seperti beberapa tahun sebelumnya. Pantas berlalu dari situ, kami terus menuju ke Kawasan Kolam Pancing dan seterusnya melalui kawasan kebun durian kampung menuju ke kandang penternakan lembu berhampiran.



Laluan ini berpenghujung di satu persimpangan. Ke kiri akan sedikit mendaki sebelum turun dan keluar di kawasan perkampungan berjalan tar. Ke kanan akan sedikit menurun sebelum membelok ke kiri dan memasuki persekitaran singletrack di celah-celah kebun sayur komersil. Kami memilih untuk ke kanan.



Kebun sayur ini secara majoriti diselenggarakan oleh pekerja asing yang rata-rata cukup mesra dan mudah untuk berinteraksi. Kawasan ini terletak Kg Sungai Rasau, Pulau Meranti.



Dari Kg Sungai Rasau, satu-satunya lorong keluar terletak berhampiran kilang bas. Setakat ini, kayuhan masih dikira pada tahap 'memanaskan badan' tanpa sebarang dakian penyentap jantung.



Jadi, di hadapan itu ada dua bukit tertinggi di Pulau Meranti. Setinggi lebih 300kaki/ft. Cukup curam ditambah dengan permukaan kering berbatu kerikil.



Hanya satu kaum berani mendaki yang pertama separuh jalan, sebelum berpatah balik kerana kecewa, kerana dua kaum lagi hanya sanggup melihat dari bawah.



Perjalanan peringkat pertama berakhir di bukit kedua, dengan keadaan terpaksa mendaki walau apa cara sekali pun. Secara keseluruhannya, perjalanan atau keadaan trail di peringkat ini adalah terbuka tanpa sebarang khemah (canopy). Mujur cuaca pagi itu agak suam-suam jerebu bercampur mendung berarak dan hujan di tempat lain.



Peringkat seterusnya adalah persekitaran Bukit Batu Hitam (kelabu) 'High Density'. Setakat perjalanan ini, kami masih belum dikejar anjing!

0 comments: